KAMPUNG TG. GAHAI

Barisan para guru dan pekerja SKTG 1990
Pada tanggal 16 Januari 1988 saya telah dilantik sebagai Guru Besar yang ke 12 di SK Tg Gahai Kuala Lipis. Mempunyai 78 orang murid yang semuanya tinggal di asrama harian diperbuat dari kayu. Tiada kemudahan eletrik dan air paip. Jalan perhubungan hanyalah Sungai Jelai dengan perahu kajang atau naik rakit atau menaiki keretapi di Bukit Betong. Pengalaman saya pergi mesyuarat di PPD Kuala Lipis terpaksa berenang menyeberangi sungai yang airnya deras kerana tiada perahu pada pagi tersebut. Tunggang motosikal merentasi kampung orang asli melalui jalan tanah merah felda dan kampung tradisional sebelum melalui jalan bertar yang berbukit dan berliku-liku sejauh 50 kilometer.
Di atas kesungguhan guru-guru yang mengajar sekolah ini pernah mencapai kejayaan UPSR tahun 1990 sebanyak 90% dan Johan Bolasepak Zon (pemain terdiri dari murid tahun 3-6).

Sungguhpun jauh di pendalaman tapi sekolah ini sering dilawati oleh pembesar negeri, pegawai atasan daerah, negeri dan kementerian pelajaran. Musim buah-buahan jenuh makan durian, rambutan, manggis, langsat, tampoi, rambai, berangan dan salak. Sungainya yang jernih waktu itu banyak ikan kelah, patin, seberau, jelawat, baung dan sebagainya. Harga ikan kelah waktu itu RM10-00 sekilogram. Hasil buruan seperti pelanduk, ayam hutan, rusa, seladang dan kijang boleh didapati pada waktu itu dipinggiran hutan kampung tersebut.
Masyarakat di situ terdiri dari Kg Bertang dan Tg Gahai sangat baik, bekerjasama dan peramah. Saya keluar dari kampung itu pada tahun 1992 kerana bertukar ke Kedah.

Rumah orang asli berhampiran SKTG
Perkampung Orang Asli berhampiran Lembah Bertam Ringlet Cameron Highland

Terima kasih kepada Encik Jamaludin Dolah, Tok Empat pada masa itu yang turun mengejar saya dengan botnya kerana sampan yang saya guna untuk menyeberang sungai terbalik dan saya hanyut bersama sampan hingga ke sebuah pulau kecil di tengah sungai. Tok Empat yang kebetulan berada di atas tebing sungai telah turun menyelamatkan saya.

Sampan alumunian digunakan sebagai feri untuk menyeberangi sungai pergi balik
 ke sekolah. Pemandangan guru dan murid dari SK Sungai Koyan datang membuat 
rakaman video di SK Tg Gahai.

Dua orang anakku bersama empat orang pelajar dan penghuni asrama SK Tg Gahai.

Hasil tanganku melukis mural di dinding sekolah.

Antara kenangan saya yang menarik di SK Tanjung Gahai ini ialah apabila terpaksa berenang menyeberangi sungai untuk keluar bermesyuarat di PPD Kuala Lipis kerana tiada kemudahan bot waktu awal pagi tersebut. Tanggal semua pakaian melainkan seluar dalam dan masukkannya ke dalam beg sandang serta berenang sambil menjunjung beg. Arus yang agak deras menyebabkan saya tersasar dan mendarat di kawasan hutan keladi dan akibatnya terpaksa menggaru sepanjang mesyuarat pada pagi itu kerana gatal miang pokok keladi.

Barisan staf SKTG tahun 1991 setahun sebelum aku bertukar ke Kedah.



Saya biasa berjaga malam tidak boleh tidur dan asyik menyuluh ke arah asrama kerana takut harimau mengamuk yang membaham lembu orang kampung melompat pagar belakang asrama. Ketiadaan kemudahan eletrik menyebabkan suasana kawasan sekolah gelap dan menyeramkan.


Kelas Cikgu Ridwan dari Perak  dan Cikgu Jalil dari Kelantan

Tahun ketiga menjadi Guru Besar. Umur saya masa ini 33 tahun.

Mohd Ridwan anak sulung ku (berkopiah putih) adalah antara
murid di sekolah ini.
 


Selang dua minggu sekali murid dibenarkan balik kampong dengan menaiki bot
 panjang terutama ke Kampong Bertang. Sebuah bot boleh memuatkan
 sehingga 30 orang murid bersama bagasi mereka.
Rumah Tok Empat Jamaludin Dollah pada masa itu.
Rumah pam air atas rakit untuk mengepam air ke tangki sekolah menggunakan injin disel.
 Buluh rakit terpaksa ditukar setiap tahun untuk mengelakkannya dari senget dan tenggelam.

Allahyarham Hj Mat Simin adalah antara pekerja sekolah yang berdidikasi tinggi, rajin,
 peramah dan pemburu yang handal di hutan. Dia bersama Paklang dari Kg Bertang
 adalah pekerja di sekolah ini waktu itu.
Bergambar bersama Pegawai PPD dan staf hari akhir di SKTG setelah menyerah
 dokumen serah tugas kerana bertukar ke Kedah pada hujung tahun 1991.
Terima kasih semua.

Pengalaman menarik juga apabila bersama penduduk kampung bergotong-royong meredah hutan selama lebih enam bulan setiap hujung minggu membina kemudahan air paip kesihatan dari punca air di atas bukit. Pacat dan nyamuk rakan biasa setiap kali ke sana. Kesan gajah, seladang, babi hutan dan harimau adalah perkara biasa.

Isteri terpaksa belajar menggunakan perahu untuk membawa anak menyeberangi
 sungai walaupun dia tak pandai berenang.
Sebahagian pelajar di asrama sedang makan di kantin sekolah.
Pak Min...jasamu sungguh banyak kepada sekolah dan masyarakat Tanjung Gahai.

Rumah Guru kembar dua dibina pada tahun 1989 cara
gotong-royong dengan kos RM 25,000 diketuai oleh
Pak Njang Mat seorang kontraktor tempatan di kam[ung itu.

Barisan pemain pasukan bolasepak SKTG yang diwakili oleh murid Darjah 3-6 yang menjadi Naib Johan Daerah Kuala Lipis setelah kalah dengan pasukan sekolah yang diwakili oleh pelajar orang asli yang boleh dipertikaian umur mereka jika dilihat dari aspek fizikal mereka. Tahniah pengurus dan jurulatih.
Di mana dan bagaimana mereka sekarang ?

Sanusi Md Zin pengasuh pelajar merangkap kerani sekolah pernah melatih
 pasukan bolasepak sekolah yang terdiri dari murid tahun3,4,5 dan 6 menjadi Johan Zon
serta Naib Johan Daerah Kuala Lipis.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RESEPI REMPEYEK

REMPEYEK / TEMPEYEK Bahan-bahannya:       Tepung beras 1 kampit        Minyak masak (untuk goreng)        Kacang ta...